No One Has Ever Become Poor By Giving!

KPI untuk Kerajaan Perpaduan: TI-Malaysia

Press Releases

Isnin 12 Disember, Kuala Lumpur-Transparency International Malaysia (TI-M) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduannya di atas pembentukan kabinet baharu. Semasa mereka memulakan penggal mereka, TI-M berpuas hati dengan pengumuman setakat ini untuk mengukuhkan tadbir urus sektor awam, seperti keperluan untuk pembidaan kompetitif dalam pemerolehan dan kajian semula projek bernilai tinggi tertentu.

Bagi memantau prestasi kerajaan baharu, kami menggesa Perdana Menteri memastikan semua menteri dan timbalannya diberikan Key Performance Indicators (KPI) yang jelas untuk dicapai. KPI ini membantu memberikan panduan yang jelas tentang objektif kerajaan dan menyediakan cara untuk menilai prestasi mereka. Semasa mereka berusaha untuk mencapai KPI mereka, adalah pentingnya untuk kemajuan dan pencapaian mereka dilaporkan kepada rakyat tepat pada masanya dan telus. “Kad Laporan” ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Perpaduan yang dinyatakan untuk menjadi telus, mengamalkan tata kelola yang baik, membasmi rasuah dan mengamalkan akauntabiliti.

TI-M percaya bahawa Kerajaan Perpaduan perlu diberi masa untuk mengenal pasti dan mengutamakan komitmennya kepada rakyat. Oleh itu pada masa ini kami tidak akan mencadangkan sasaran dan garis masa untuk KPI. Kami bagaimanapun amat menggesa kerajaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang merupakan dokumen apolitik yang digubal pada 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu dan sebahagian besarnya disahkan oleh kerajaan-kerajaan berikutnya. NACP menyediakan panduan dan petunjuk yang jelas tentang inisiatif untuk menambah baik tata kelola dan amalan integriti di peringkat nasional.

Budaya ketelusan dan bertanggungjawab tidak memerlukan sebarang tempoh tangguh – ia harus diamalkan dengan segera. Inilah yang rakyat harapkan dan negara kita perlu menangani pelbagai cabaran dan menetapkan semula dirinya (reset). Presiden TI-M Muhammad Mohan memberi jaminan bahawa TI-M akan menyokong Perdana Menteri dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduannya mengamalkan budaya ini. Sesiapa yang gagal memenuhi piawaian ini hendaklah diganti.

TI-M kekal komited untuk melibatkan diri dengan Kerajaan Perpaduan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bidang tata kelola yang baik dan integriti. Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai ahli masyarakat sivil yang bertanggungjawab, untuk menawarkan sokongan dan cadangan alternatif yang membina jika perlu untuk manfaat negara kita.

Tamat

Nota kepada Editor: Untuk penjelasan mengenai mana-mana dan semua kenyataan rasmi daripada Transparency International – Malaysia (TI-M), sila rujuk kepada Presidennya, Dr Muhammad Mohan (mmohan@transparency.org.my )