No One Has Ever Become Poor By Giving!

Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bukan urusan peribadi; dana awam urusan negara: TI-Malaysia menyeru penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja

Press Releases

Petaling Jaya, 12 September 2022 - Beberapa minggu ini, kita dapat melihat pelbagai skandal negara yang timbul disebabkan penyalahgunaan dana pesara, dana pendidikan dan pelbagai dana awam - skandal ini tidak akan pernah diketahui jika tidak kerana usaha dan keberanian pihak media, penyelidik, wartawan penyiasat, pemberi maklumat dan tekanan orang awam.

Walaupun kita berbangga dengan usaha tanpa jemu dan keberanian agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, kita tidak boleh cepat berpuas hati dan membiarkan penyalahgunaan pejabat awam dan dana awam yang sama berlarutan dalam bentuk yang lain, hanya dengan menutup mata terhadap pelbagai pendedahan dan laporan projek berbilion ringgit yang mencurigakan.

Skandal Pembinaan PFI Sdn Bhd muncul pada tahun 2018 dengan laporan hutang berjumlah RM50 bilion. PFI ialah satu bentuk perkongsian awam-swasta di mana projek awam dibiayai oleh pemegang konsesi sektor swasta yang kemudiannya mendapat bayaran balik sepanjang tempoh konsesi. SPRM mula menyiasat skandal PFI pada 2018 berikutan temu bual dengan Ahli Parlimen Bangi, YB Ong Kian Ming, tetapi tiada hasil dilaporkan sehingga kini.

Laporan ‘PFI: The Search for Accountability’yang diterbitkan oleh Pusat C4 baru-baru ini dengan jelas mengulangi bahawa PFI sepatutnya diurus dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Kerjasama Awam-Swasta, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Laporan itu mendedahkan bahawa Pembinaan PFI Sdn Bhd memperoleh pinjaman berjumlah RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Cagaran bagi pinjaman tersebut adalah blok tanah kerajaan yang disewakan kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Pembinaan PFI kemudiannya menyewakan semula bidang tanah yang sama kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dengan jumlah RM29 bilion untuk membayar balik pinjaman daripada KWSP.

TI-M terkejut dengan kekurangan akauntabiliti dan ketelusan terhadap pengurusan projek negara dan pengendalian kes seperti yang dilaporkan ini. Apabila inisiatif 'pembiayaan swasta' ini dijamin dan dibiayai oleh agensi kerajaan, dan pembiayaan disediakan oleh bank yang kebanyakannya dimiliki oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC); kita mesti akan tertanya, adakah projek-projek tersebut dipanggil sebagai projek 'swasta', hanya untuk mengelakkan akauntabiliti?

Jika SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kes itu dan mendapati tiada kesalahan yang dilakukan, malah bercanggah dengan semua penemuan C4 (menggunakan sumber awam), maka SPRM harus membersihkan nama GLC tersebut dengan penemuan mereka. Tambahan pula, di manakah pendedahan dan maklumat terkini Suruhanjaya Tanah Persekutuan dan Pembinaan PFI Sdn Bhd mengenai projek bernilai tinggi ini, lebih sedekad sejak ia ditubuhkan?

TI-M menyuarakan seruan daripada C4 dan masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi skandal berbilion ringgit ini dengan pendedahan yang telus kepada Parlimen bagi mengelakkan wujudnya sebuah lagi 1MDB, SRC International atau Sabah Watergate. Dana pencen dan persaraan kami bukanlah sumber off-book financing untuk projek berisiko tinggi, kata Muhammad Mohan, Presiden TI-Malaysia.

Sumber:

https://c4center.org/wp-content/uploads/PFI-Report.pdf

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/08/05/wheres-the-report-on-probe-into-glc-from-2018-c4-asks-macc/

https://c4center.org/the-pfi-report-c4-center/

 

Tamat

Nota kepada Editor: Untuk penjelasan mengenai kenyataan ini daripada pihak Transparency International – Malaysia (TI-M), sila rujuk kepada Dr. Muhammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia  (mmohan@transparency.org.my)