Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan di bawah pimpinan Dato Sri Ismail Sabri untuk terus menumpukan perhatian kepada agenda reformasi dan matlamat NACP (Pelan Pencegahan Rasuah Nasional), iaitu memerangi rasuah untuk memastikan kemakmuran ekonomi negara. TI-Malaysia memohon kerajaan untuk menunjukkan komitmen dengan mengambil tindakan segera dan wajar terhadap maklumat yang didedahkan dalam Kertas Pandora.
Kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap kesemua individu dan organisasi yang terlibat dalam rasuah, penggubahan wang haram, dan penyalahgunaan dana awam. Kerajaan hendaklah memerangi gejala rasuah di semua lapisan, termasuk menyiasat Kertas Pandora, membentangkan laporan penyiasatan secara telus di Parlimen, membahas laporan tersebut, dan melaksanakan dasar-dasar yang perlu untuk mengelakkan kebolosan berbilion-bilion Ringgit. Wang yang hilang akibat rasuah sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, bantuan kewangan, dan mengurangkan kadar pengangguran belia terutamanya dalam ketidaktentuan ekonomi semasa.
TI-M tidak dapat menerima bahawa pada zaman ini, apabila dimana seluruh dunia telah menerima maklumat mengenai penglibatan warga Malaysia yang terkenal dalam skandal, namun penguatkuasa undang-undang tempatan mendakwa bahawa siasatan hanya boleh dimulakan setelah laporan polis spesifik difailkan.
Tambahan pula, Malaysia tidak kekurangan agensi penguatkuasaan dan kawal selia yang dibiayai oleh wang pembayar cukai, dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat, menjalankan pengawasan, merampas aset dan mendapatkan semula aset dan wang yang dibolosi keluar, seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan, Biro Pusat Kebangsaan Interpol, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia.
Demi memberhentikan ketirisan sedemikian, Malaysia memerlukan undang-undang yang berkesan untuk memagari sumber awam. TI-Malaysia percaya bahawa ketelusan boleh membunuh rasuah, dan menggesa pengisytiharan asset secara tegas dan telus untuk menyingkirkan wabak ini.
TI-Malaysia bersama-sama pertubuhan sivil yang lain telah lama menyokong Akta Pengisytiharan Aset kerana ianya merangkumi aset, ekuiti, penglibatan dan kepentingan yang dipegang di peringkat tempatan dan antarabangsa. Pengisytiharan aset harus diwajibkan dan didedahkan sepenuhnya dalam daftar awam – bukan sekadar pengisytiharan pendapatan secara sukarela. Cadangan ini bukan baru dan telah dilaksanakan di negara-negara yang mempunyai skor Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index – CPI) yang lebih tinggi.
Kerajaan tidak seharusnya membenarkan pihak tertentu mendiamkan diri dalam hal skandal berbilion dolar ini atas kepentingan peribadi mereka. Rakyat sedang memerhati – termasuk pengundi pilihan raya akan datang.
-Tamat-
Note to Editors: For clarification on this statement from Transparency International – Malaysia (TI-M),
kindly refer to Dr. Muhammad Mohan, Transparency International Malaysia T: +603 7887 9628