No One Has Ever Become Poor By Giving!

TI-Malaysia Menyokong Peruntukan Baru Menangani Masalah Pecah Amanah Dalam Badan Awam

Press Releases

Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) telah menganjurkan forum “Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam” hari ini sebagai sesi keterlibatan bagi membincangkan cadangan menggubal peruntukan salah laku dalam badan awam yang baharu.


Forum tersebut disertai oleh Ketua Audit Negara, YBhg Dato’ Nik Azman Nik Abdul Majid, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) YBhg Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Badan Awam (CUEPACS) Tuan Haji Adnan Mat, dan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, YBhg Dato’ Sri Akhbar Satar.


Peruntukan salah laku dalam badan awam yang dicadangkan adalah berasaskan peruntukan setara di negara lain yang dikenali sebagai undang-undang Misconduct in Public Office. Tujuan peruntukan tersebut adalah memperkasakan tindakan penguatkuasaan terhadap salah laku dalam badan awam, terutamanya dalam isu penyelewengan, pecah amanah, dan ketirisan sumber awam.


Menurut Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan, forum ini bertujuan membentangkan peruntukan tersebut bagi pemahaman orang ramai, terutamanya pegawai perkhidmatan awam yang bakal terkesan oleh peruntukan berkenaan badan awam.

“Peruntukan sebegini perlu untuk pemerkasaan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terbabit, dan memastikan salah laku yang melibatkan sumber awam dibawa ke muka keadilan. Pada masa yang sama, adalah wajar memastikan juga peruntukan tersebut berkesan dan tepat pada sasarannya,” kata Dr Mohan. “Oleh itu, forum ini bertujuan mendalamkan perbincangan mengenai cara menangani masalah ketirisan sumber awam serta mengumpul maklum balas dari akar umbi mengenai peruntukan salah laku dalam badan awam yang masih di dalam kajian.”


- TAMAT -

Nota:
Perbincangan forum boleh diikuti di laman web Facebook Transparency International – Malaysia.